JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kluster Tuberkulosis (tibi) di Kota Tinggi dengan 33 kes positif daripada 804 kontak rapat yang disaring setakat 4 Feb.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, semua pesakit yang dikesan positif kini menerima rawatan dan dipantau rapi oleh pihak KKM, manakala satu kematian dilaporkan namun bukan disebabkan tibi.
Pasukan KKM sedang mengambil tindakan agresif di lapangan bagi membendung penularan dan tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) akan diteruskan.
Dzulkefly menasihati penduduk yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, berpeluh waktu malam atau kehilangan berat badan supaya segera menjalani saringan kesihatan.
Beliau turut menegaskan orang ramai tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan panik.
Tibi atau batuk kering adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis, merebak melalui udara, dan boleh dicegah serta disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan efektif selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back