JULAU - Projek pembinaan Klinik Kesihatan baharu di DUN Meluan dijangka meningkatkan akses rawatan penduduk luar bandar apabila siap sepenuhnya pada 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, kemudahan ini penting bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap hospital di Sarikei dan Sibu.
“Pembinaan klinik ini mencerminkan komitmen kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika meninjau tapak projek.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 (KK4), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta kuarters kakitangan bagi menyokong keperluan perkhidmatan kesihatan setempat.
Jurutera Awam Projek, Shahrul Nazrin memaklumkan, kemajuan fizikal semasa projek kini berada pada tiga peratus dan selari dengan jadual pelaksanaan.
Projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini mempunyai tempoh kontrak 156 minggu, melibatkan kerja tanah, sistem mekanikal dan elektrikal, saliran serta infrastruktur berkaitan, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028 bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan penduduk Julau.
Sumber: Japen Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back