KUCHING – Motif sebenar kes bunuh membabitkan pasangan suami isteri di Sri Aman masih dalam siasatan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh dan terperinci, termasuk berpandukan bukti forensik serta keterangan saksi.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini, memberitahu bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah dijalankan semalam di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa lelaki mengalami 11 kecederaan akibat objek tajam di bahagian leher dan dada, dengan punca kematian disahkan sebagai “Neck and Chest Injuries Due To Stab Wounds”.
Manakala isterinya pula didapati mengalami luka tikaman di bahagian leher dan punca kematian disahkan sebagai “Neck Injury Due To Stab Wounds”.
Setakat ini, seramai 21 orang saksi terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain menghormati privasi keluarga mangsa.
Dalam kejadian pada Rabu, 14 Januari lalu, pasangan suami isteri berkenaan ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.
Mangsa lelaki merupakan guru besar di sebuah sekolah di Lubok Antu, Sri Aman, manakala isterinya seorang jururawat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back