KUCHING - Sarawak hampir mencapai sasaran lima juta pelawat untuk 2025 apabila mencatatkan 4.97 juta pelawat, jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah pelawat sehingga 31 Disember 2025 ialah 4,971,197 orang, hanya sekitar 28,800 kurang daripada sasaran asal.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persatuan Badminton Sarawak SBA – YONEX Sunrise di Hotel Waterfront, di sini, semalam.
Tambahnya, daripada Januari hingga Disember 2025, pendapatan pelancongan negeri mencecah RM12.67 bilion, rekod tertinggi pernah dicapai, sekaligus memberi manfaat kepada industri hospitaliti seperti hotel, restoran, penginapan homestay dan meningkatkan ekonomi tempatan.
Mengenai 2026, Dato Sri Abdul Karim menjangkakan Sarawak berpotensi mencapai atau melebihi sasaran lima juta pelawat, dengan Brunei Darussalam dan Indonesia terus menjadi penyumbang utama pelawat selari dengan peningkatan laluan udara dan darat.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back