HAMILTON - Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang disifatkan sebagai pencerobohan tidak sah ke atas sebuah kemudahan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin, UNRWA, di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, kecaman itu susulan tindakan pihak berkuasa Israel pada 12 Januari lalu menceroboh Pusat Kesihatan UNRWA di Baitulmuqaddis serta mengarahkan penutupan sementara kemudahan berkenaan.
Guterres turut menyuarakan kebimbangan serius selepas UNRWA dimaklumkan bahawa bekalan elektrik dan air ke beberapa fasiliti agensi itu di Baitulmuqaddis Timur akan dihentikan.
Menurut PBB, tindakan berkenaan bercanggah dengan kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
PBB menegaskan, pencerobohan itu melanggar prinsip ketakbolehcabulan premis PBB dan menjejaskan mandat UNRWA di Wilayah Palestin Diduduki.
Setiausaha Agung PBB menggesa Israel segera memulangkan serta memulihkan kompleks UNRWA di Sheikh Jarrah dan Pusat Kesihatan UNRWA, selain memastikan bekalan utiliti penting terus disalurkan.
Sumber: BERNAMA - ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back