KUANTAN - Seorang pensyarah berusia 39 tahun kerugian RM493,600 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian pada September tahun lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mangsa dihubungi individu mendakwa ejen pelaburan saham dan dimasukkan ke kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan palsu.
Katanya, mangsa melakukan 22 transaksi wang ke lima akaun berbeza menggunakan simpanan sendiri dan pinjaman keluarga.
Menurut Datuk Seri Yahya, pada 14 Januari lalu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM144,676 sebagai cukai pengeluaran, tetapi enggan kerana mengesyaki penipuan dan tampil membuat laporan polis.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat daripada balai polis sebelum membuat sebarang pelaburan dan menyemak nombor akaun melalui pautan rasmi https://semakmule.rmp.gov.my/ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back