KAPIT - Projek pembinaan jambatan di Nanga Gaat serta jalan akses ke Rumah Tungku, Sebiro dan Sungai Gaat (Fasa 1: Seksyen 1) dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman Baleh.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak, menegaskan kawasan Baleh dan Sungai Gaat sentiasa termasuk dalam agenda pembangunan kerajaan, dengan setiap projek dipantau rapi untuk memastikan manfaatnya dirasai oleh penduduk setempat.
“Projek ini akan memudahkan pergerakan harian penduduk, merancakkan ekonomi setempat, dan menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang lebih baik,” kata Wilson melalui hantaran Facebooknya.
Beliau semalam mengadakan lawatan tapak serta mesyuarat projek yang melibatkan jajaran dari Rumah Nyamok ke Puro, dilaksanakan melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
Wilson menambah, pembinaan jambatan dan jalan akses akan mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan sungai dan jalan tanah sebelum ini, sambil memastikan pembangunan inklusif dinikmati seluruh komuniti pedalaman.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back