KUCHING - Program bas sekolah percuma yang dilaksanakan sebagai projek perintis di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.6 akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata peluasan perkhidmatan itu akan memberi tumpuan kepada kawasan bandar, khususnya untuk menangani kesesakan lalu lintas pada waktu puncak persekolahan.
Katanya, program itu bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kos sara hidup ibu bapa, malah menyokong usaha kerajaan negeri ke arah menjadikan bandar-bandar di Sarawak sebagai bandar rendah karbon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No.6, hari ini.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata pelaksanaan projek perintis itu menunjukkan kesan positif apabila statistik dan sistem penjejakan mendapati jumlah kenderaan di Jalan Setapok, yang menempatkan Sekolah Kebangsaan Sungai Maong Hilir dan SJK Chung Hua No.6, berkurangan.
Beliau menambah bahawa keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak turut meningkat kerana bas berkenaan dilengkapi peralatan penjejakan dan membolehkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan pelajar semasa perjalanan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kos penyediaan bas dan pembayaran perkhidmatan akan terus ditanggung oleh Kerajaan Sarawak, termasuk penambahbaikan perkhidmatan bas sekolah percuma Yayasan Sarawak dengan penggunaan teknologi maklumat yang lebih efisien.
Selain itu, beliau menekankan bahawa pengendalian program bas sekolah percuma memerlukan penglibatan aktif pihak sekolah, wakil rakyat, ibu bapa dan komuniti setempat bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan berkesan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back