Kuching – Kerajaan MADANI kini dalam proses untuk memperincikan pemberian sumbangan Inisiatif Sejahtera MADANI kepada murid-murid di sekolah menengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah penyaluran bantuan dalam bentuk in-kind, khususnya dalam bentuk tabungan.
Menurut beliau, proses tersebut masih berjalan dan bersifat berterusan berdasarkan keperluan semasa penerima manfaat.
Difahamkan, perbincangan turut melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membolehkan pembentukan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Ia sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti atau ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Beliau memaklumkan inisiatif itu dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini juga, namun perbincangan lanjut masih sedang dijalankan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya, Kuching, hari ini.
Untuk rekod, pelaksanaan Inisiatif Sejahtera MADANI yang berjumlah RM370 ribu, setakat ini telah diagihkan kepada 740 isi rumah daripada senarai keluarga e-Kasih.
Usaha itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk membasmi kemiskinan tegar, khususnya melibatkan golongan berpendapatan paling rendah di negara ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back