Kuching – Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM62 juta, bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada seramai 413,380 murid di Sarawak.
Inisiatif di bawah Program Sejahtera MADANI itu melibatkan semua murid daripada 1,460 buah sekolah di seluruh negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, bantuan itu akan diagihkan tanpa mengira pendapatan isi rumah kasar, dengan setiap murid menerima RM150 secara sekali beri.
Menurut beliau, bantuan tersebut mampu menjadi pemangkin bagi memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk memulakan sesi persekolahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar para penerima untuk memanfaatkan BAP 2026 sebagai motivasi masing-masing untuk membina kecemerlangan dan menjadi insan yang berguna.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan BAP Sarawak 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di Kuching, hari ini.
Penerusan pemberian BAP itu jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasa pembangunan pendidikan anak-anak Malaysia, khususnya di Sarawak, secara inklusif.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back