Kanowit - Perkhidmatan feri Kanowit-Sedaya secara rasmi kini mula beroperasi, memberikan kemudahan pengangkutan lebih efisien bagi penduduk di Jalan Kubu dan Kampung Sedaya.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ngemah (ADUN) Anyi Jana di Ferry Ramp Tapak A, Jalan Kubu, dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu termasuk pemimpin komuniti dan wakil agensi berkaitan.
Menurut Anyi, sebelum feri beroperasi, penduduk Jalan Nibong Tada terpaksa melalui Jambatan Batang Rajang di Durin, menyebabkan perjalanan lebih lama dan menyusahkan.
Jelasnya, dengan adanya feri, masa perjalanan dapat dipendekkan, memudahkan aktiviti harian, akses kepada perkhidmatan penting serta ekonomi tempatan.
Beliau turut menghargai usaha Kerajaan Sarawak dan Jabatan Kerja Raya Sibu dalam menunaikan permintaan rakyat Kanowit dan menasihati pengguna agar menggunakan feri secara bertanggungjawab serta mematuhi garis panduan keselamatan.
Sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baru dari 24 Disember hingga 3 Januari, feri akan beroperasi dari jam 4 pagi hingga 12 tengah malam, sementara operasi biasa bermula 4 pagi hingga 10 malam.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back