Geneva - Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menggesa agar keganasan dan penindasan di Myanmar dihentikan menjelang pilihan raya yang dikawal tentera pada 28 Disember ini.
Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk, menegaskan tentera mesti menghentikan paksaan terhadap orang ramai untuk mengundi serta menahan individu kerana bersuara, sambil menekankan bahawa berpuluh-puluh orang sudah ditahan di bawah “undang-undang perlindungan pilihan raya”.
Beberapa individu menerima hukuman berat, termasuk tiga belia di Wilayah Yangon dipenjarakan 42 hingga 49 tahun, manakala tokoh terkenal seperti pengarah filem Mike Tee dan pelakon Kyaw Win Htut dijatuhi 7 tahun penjara kerana mengkritik propaganda pro-pilihan raya.
PBB turut melaporkan ugutan daripada kumpulan bersenjata yang menentang tentera serta ancaman terhadap orang awam yang dipindahkan di Wilayah Mandalay agar pulang untuk mengundi, menjadikan keadaan tidak selamat.
Menurut Turk, pilihan raya itu berlangsung dalam persekitaran keganasan dan penindasan, menafikan hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back