Sebuyau - Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motosikal Yamaha LC135 dan sebuah kereta Proton X90 di Kampung Sampat, di sini, pada 22 Disember lalu.
Menurut Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sebuyau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 4.20 petang, sebelum menggerakkan Skuad Alpha ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan awal.
Setibanya di tempat kejadian, anggota penyelamat mendapati seorang penunggang motosikal terlibat dalam perlanggaran tersebut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton X90 dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke hospital berdekatan bagi tujuan bedah siasat serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Pihak berkuasa turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sumber: fb Info Kemalangan Dan Bencana Malaysia
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back