Kuching - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket calling centre perjudian dalam talian selepas menahan 28 individu dalam dua serbuan berasingan di pangsapuri di Jalan Song, Kuching, pada 22 Disember lalu.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, serbuan yang dijalankan antara jam 2 hingga 2.12 petang itu merupakan hasil maklumat risikan Op Dadu Mega, melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dengan kerjasama Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak.
Katanya, dalam operasi berkenaan, polis menahan tiga lelaki tempatan, serta 24 lelaki dan seorang wanita warga asing, berusia antara 19 hingga 40 tahun.
Turut dirampas ialah peralatan komputer, telefon bimbit dan peranti komunikasi yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Siasatan awal mendapati sindiket tersebut beroperasi sebagai pusat panggilan, menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sesawang untuk mempromosikan pelbagai bentuk perjudian dalam talian, dengan sasaran pelanggan dari Australia dan China.
Premis itu dipercayai telah beroperasi selama kira-kira empat bulan, dan kesemua individu yang ditahan disyaki bekerja sepenuh masa dalam aktiviti berkenaan.
Kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, selain beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching semalam, dan permohonan reman selama tiga hari telah diluluskan.
Sementara itu, ACP Alexson menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back