Kuala Lumpur - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melaporkan sebanyak 8,484 kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan direkodkan dari 1 Jan hingga 14 Disember 2025, melibatkan kerugian RM202.58 juta, meningkat 146 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata peningkatan itu menunjukkan jenayah penipuan semakin berleluasa dan memberi kesan kewangan besar kepada mangsa.
Beliau berkata, sindiket biasanya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera menawarkan pekerjaan sambilan dengan pulangan tinggi dalam masa singkat, sebelum mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan ke akaun keldai.
Tegasnya, tiada majikan sah akan meminta bayaran pendahuluan daripada calon.
Justeru Datuk Rusdi menasihatkan orang ramai berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan, serta segera membuat laporan polis jika disyaki menjadi mangsa.
Tambahnya, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut boleh dihubungi di talian 997 untuk tindakan awal dan membolehkan pihak berkuasa mengesan serta membekukan aliran kewangan terlibat.
Beliau menegaskan JSJK akan terus mempergiat usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah penipuan secara menyeluruh.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back