KUCHING - Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam usaha membangunkan negeri dan negara, justeru tidak seharusnya dipandang remeh.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pendidikan awal berperanan menyediakan anak-anak untuk menghadapi pendidikan di peringkat rendah dan menengah serta cabaran masa depan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, kemenjadian kanak-kanak perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata.
Menurutnya, pendidikan awal kanak-kanak turut melibatkan pembentukan akhlak dan sahsiah, perkembangan emosi dan sosial, keyakinan diri, keberanian berkomunikasi, kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pelbagai.
Datuk Sharifah Hasidah berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Kanak-Kanak TABIKA dan TASKA PERMATA KEMAS Parlimen Petra Jaya di Wisma Sabati, hari ini.
Beliau turut menegaskan peranan penting TABIKA dan TASKA serta komitmen tinggi para guru dalam membantu ibu bapa memastikan anak-anak mendapat pendidikan awal yang terbaik.
Menurut beliau, peratusan kanak-kanak di Sarawak yang mengikuti pendidikan awal sebelum melangkah ke Darjah Satu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong dan memperkasa pendidikan awal kanak-kanak selaras dengan komitmen kerajaan melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.
Seramai 252 kanak-kanak daripada 32 TABIKA melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang dan DUN Satok diraikan pada majlis apresiasi tersebut dan menerima sijil bagi Sidang Pertama.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back