Saratok - Operasi mengurangkan populasi buaya di Batang Krian berjaya menangkap seekor buaya jantan sepanjang 15 kaki dengan anggaran berat 300 hingga 400 kilogram dalam operasi bersepadu melibatkan 18 anggota pelbagai agensi di Kampung Kupang dan sepanjang Ulu Sungai Batang Krian.
Operasi yang digerakkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta beberapa jabatan kerajaan lain itu berlangsung dari 14 hingga 23 Disember 2025 bagi mengawal dan menangani ancaman buaya di kawasan berisiko.
Pasukan operasi membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SFC Sibu serta RELA dengan sokongan tiga bot daripada PDRM, bomba dan APM.
Pada hari pertama, operasi tertangguh dan hanya pemantauan dilakukan yang mendapati anggaran sekitar 178 ekor buaya berada di kawasan pemantauan, manakala pada hari kedua sebanyak sembilan umpan dipasang sepanjang Sungai Krian.
Pada hari ketiga operasi, pasukan berjaya menangkap seekor buaya katak (Crocodylus porosus) selepas menerima maklumat penduduk rumah panjang sekitar jam 4 petang bahawa umpan telah dibawa lari, sebelum buaya itu dibawa ke darat dan diserahkan kepada pemburu berlesen untuk direkodkan.
Sepanjang operasi, aspek keselamatan anggota diutamakan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri dan jaket keselamatan bagi memastikan penugasan berjalan lancar dan selamat.
Sumber: IPD Saratok
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back