Bangkok - Kontinjen Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200 pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand apabila sudah mengumpul 147 pingat setakat ini, merangkumi 30 emas, 31 perak dan 86 gangsa, dengan baki lima hari sebelum temasya berakhir Sabtu ini.
Prestasi semasa meletakkan Malaysia di kedudukan kelima keseluruhan dan membuka peluang cerah untuk mengatasi pencapaian 34 emas pada edisi 2023 di Kemboja, yang juga rekod terburuk negara dalam sejarah penyertaan Sukan SEA.
Harapan menambah koleksi pingat kekal tinggi menerusi acara terjun dan skuasy yang masing-masing menawarkan empat pingat emas, selain muay thai yang menyaksikan enam wakil negara mara ke final hari ini, termasuk pemenang emas dunia U23 IFMA tiga kali, Yan Jia Chi atau Angie.
Saingan muay thai turut menampilkan Muhammad Mikhail Ghazali yang bakal menentang wakil tuan rumah dalam kategori featherweight 57 kilogram, manakala pasukan bola jaring negara dijadual berdepan Singapura dengan misi memburu hatrik emas.
Semalam, Malaysia meraih empat emas menerusi ekuestrian, menembak, boling dan olahraga, dengan Muhammad Irfan Shamsuddin mencuri tumpuan apabila mempertahankan emas lempar cakera sambil memecahkan rekod temasya 26 tahun dengan catatan 60.23 meter.
Kejayaan turut dilakar penembak berpengalaman Ong Chee Keng yang menamatkan kemarau 32 tahun negara dalam acara trap individu lelaki, sekali gus mengukuhkan keyakinan Malaysia untuk menamatkan kempen Sukan SEA 2025 dengan pencapaian membanggakan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back