Bandaraya Gaza - Hujan lebat menenggelamkan ratusan khemah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di Gaza pada Isnin, menyebabkan beberapa kecederaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Seorang wanita cedera sederhana selepas dinding sebuah rumah runtuh dan menghempap khemah di barat Bandaraya Gaza, manakala angin kencang merosakkan puluhan khemah lain dan menerbangkan sebahagiannya ketika penduduk cuba menyelamatkan harta benda mereka.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terkorban akibat ribut kuat sebelumnya, dengan kerugian awal dianggarkan sebanyak US$4 juta.
Ketua Kesatuan Majlis Perbandaran Gaza, Yahya al-Sarraj, memberi amaran bahawa kekurangan bahan api memburukkan keadaan, menjejaskan operasi jentera dan stesen pam serta meningkatkan risiko runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel, yang dijadikan tempat perlindungan penduduk.
Al-Sarraj merayu agar bantuan kecemasan segera disalurkan, termasuk pakaian musim sejuk, selimut, tilam dan kaedah pemanasan yang selamat bagi mengurangkan penderitaan penduduk dalam cuaca buruk.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back