Johor Bahru - Kerajaan tetap meneruskan pengharaman penuh rokok elektronik (vape) dengan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perkara itu dijangka dibentang pada awal 2026, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau menjelaskan bahawa MJM sedang dimuktamadkan selepas tidak sempat dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, dan pengharaman dijangka dilaksanakan secepat mungkin, antara pertengahan hingga hujung tahun hadapan.
Keputusan itu dibuat walaupun wujud pelbagai pandangan, berikutan peningkatan kes kemudaratan kesihatan akibat penggunaan vape, termasuk cecair yang dicemari bahan terlarang seperti ganja sintetik.
Dr. Dzulkefly menambah bahawa jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari, bersama pakar perunding kesihatan awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesan kesihatan dan implikasi perundangan terhadap masyarakat.
Bercakap pada sidang media selepas ke lawatan Hospital Permai di Johor Bahru hari ini, beliau juga menekankan bahawa pelaksanaan pengharaman akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape, bagi memastikan perlindungan kesihatan awam secara menyeluruh.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back