Mukah - “Penerimaan terhadap kepelbagaian dan perbezaan dalam kalangan masyarakat, serta sikap saling menghormati antara agama, budaya dan perayaan merupakan asas penting memperkukuh perpaduan,” kata Timbalan Menteri Ekonomi Dato’ Hanifah Hajar Taib ketika merasmikan Festival Krismas Mukah 2025 di Dataran Pehin Setia Raja, pada 13 Disember lalu.
Festival tahun ketiga itu berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung, yang membanjiri dataran utama bagi menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan yang meriah, sekali gus menghidupkan suasana awal sambutan Hari Natal di Mukah.
Majlis perasmian diserikan dengan perarakan sejauh 3 kilometer yang diketuai sendiri oleh Dato Hanifah, melibatkan ribuan peserta daripada 15 kontinjen mewakili pelbagai kategori dan latar belakang masyarakat.
Ahli Parlimen Mukah itu menjelaskan bahawa festival tersebut bukan sekadar acara sambutan perayaan, tetapi juga simbol perpaduan kaum dan budaya di Mukah, yang dihuni lebih 27 etnik berbeza namun tetap hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Beliau menegaskan, perpaduan yang kukuh menjadi pemangkin utama dalam usaha bersama membangunkan Sarawak ke arah wilayah lebih maju dan makmur.
Festival berkenaan adalah hasil inisiatif dan idea asal Dato Hanifah, yang bertujuan memupuk semangat saling menghormati antara masyarakat, serta menonjolkan keunikan budaya tempatan melalui persembahan seni, tarian dan muzik yang meriah.
Penganjuran program sebegini juga diharapkan dapat menyatukan komuniti tempatan dan memberi peluang kepada rakyat menyemai nilai toleransi, hormat-menghormati dan keharmonian di tengah kepelbagaian budaya.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back