HAMILTON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa banjir akibat hujan lebat di Gaza meningkatkan risiko terhadap hampir separuh penduduk wilayah itu, terutamanya di 760 tapak pelarian yang menempatkan kira-kira 850,000 orang, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata hujan lebat menenggelamkan khemah, membasahi barangan peribadi dan meningkatkan risiko kesihatan seperti hipotermia bagi bayi serta penyakit berkaitan limpahan kumbahan.
Pasukan PBB telah menubuhkan sistem tindak balas pantas, memproses lebih 160 amaran banjir sejak awal Khamis, serta mengagihkan khemah, kanvas, pakaian tebal, selimut dan kit kebersihan di seluruh Gaza.
Selain itu, bantuan lain termasuk guni tepung dijadikan benteng pasir dan bekalan alatan untuk melindungi keluarga berisiko tinggi.
Haq menegaskan bahawa sekatan terhadap operasi kemanusiaan, termasuk larangan terhadap kebanyakan NGO antarabangsa dan UNRWA, perlu diringankan untuk memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.
Sejak Rabu, ribuan khemah mangsa perang Israel menjadi takungan air, merosakkan tilam, pakaian dan bekalan makanan, menyebabkan ratusan keluarga Palestin terdedah kepada cuaca sejuk.
PBB menganggarkan Gaza memerlukan 300,000 khemah dan unit perumahan pasang siap, dengan kos pembinaan semula mencecah US$70 bilion, selepas kemusnahan infrastruktur akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 yang menjejaskan lebih 70,000 nyawa dan mencederakan 171,000 orang sebelum gencatan senjata dua bulan lalu.
Sumber: BERNAMA–ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back