KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dan Perak pagi ini kekal seperti semalam, dengan empat PPS masih beroperasi di kedua-dua negeri itu.
Di Sarawak, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), setakat jam 8 pagi, 142 mangsa daripada 65 keluarga masih berada di tiga PPS di Miri akibat banjir dan tanah runtuh.
PPS SK Kampung Angus menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga, PPS SK Suai Niah menempatkan 119 mangsa daripada 57 keluarga, manakala Dewan Bulan Sabit Merah menempatkan empat mangsa banjir dan empat mangsa dipindahkan akibat tanah runtuh.
Di Perak, PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak yang dibuka sejak 25 November masih menempatkan 19 mangsa daripada lima keluarga dari beberapa kampung termasuk Kampung Matang Jambu, Kampung Glouster, Ayer Hitam dan Batu 7 hingga 9.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca ribut di kebanyakan daerah petang ini, kecuali di Bagan Datuk.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back