BANGKOK - Skuad taekwondo negara mencipta kejutan manis di Sukan SEA 2025 apabila trio wanita poomsae recognised, Seah Jing Ying, Wong Zin dan Yow Mei Yee, menghadiahkan emas buat Malaysia, selepas mempamerkan persembahan bertenaga untuk mengumpul 8.560 mata pada aksi final di Fashion Island, pada Rabu 10 Disember.
Walaupun bukan pilihan utama, persembahan mantap mereka berjaya menewaskan trio tuan rumah Thailand yang meraih 8.450 mata sekali gus terpaksa berpuas hati dengan perak.
Jing Ying mengakui mereka tidak menyangka mampu bergelar juara, terutama ketika berdepan tekanan hebat penyokong Thailand, namun tetap mengekalkan fokus biarpun skuad negara berdepan kontroversi dalam acara poomsae berpasangan campuran membabitkan Jason Loo Jun Wei–Nur Humaira Abdul Karim di peringkat suku akhir.
Dalam insiden itu, pasangan Malaysia tewas kepada wakil tuan rumah meskipun kedua-dua pihak meraih 8.460 mata, selepas juri memilih Thailand berdasarkan aspek persembahan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back