BANGKOK - Kehadiran ibu di gelanggang menjadi suntikan semangat luar biasa buat atlet taekwondo negara, Chin Ken Haw, yang menghadiahkan pingat pertama buat Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand hari ini.
Ken Haw, 21, merangkul gangsa poomsae gaya bebas individu lelaki selepas mengumpul 7.740 mata dalam saingan yang berlangsung di Fashion Island Shopping Mall.
Emas dimenangi atlet Filipina, Justin Kobe Macario (8.200 mata) manakala perak menjadi milik tuan rumah, Atchariya Koedkaw (8.100 mata).
Menurut Ken Haw, kehadiran ibunya, Chin Li, yang terbang khas ke Bangkok, menjadi dorongan utama sejak beliau menceburi taekwondo pada usia lapan tahun.
“Sokongan ibu memang faktor utama saya berjaya menyumbang pingat pertama untuk Malaysia. Dari kecil sampai kini, ibulah yang sentiasa ada di belakang saya,” katanya.
Walaupun tidak membawa pulang emas, atlet kelahiran Selangor itu tetap berpuas hati dengan persembahan terbaiknya di temasya dwitahunan tersebut, terutama selepas setahun melalui cabaran latihan dan pemulihan.
Ini juga kali pertama Ken Haw beraksi dalam kategori gaya bebas, selepas meraih perak individu poomsae recognised pada edisi Kemboja sebelum ini.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok dan Chonburi.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back