KUCHING — Seorang wanita warga emas berusia 71 tahun kerugian lebih RM500,000 selepas terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menawarkan komisen lumayan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian bermula pada 1 September lalu ketika mangsa menerima mesej melalui aplikasi TikTok daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan sambilan di platform “TK Shop”.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut dijanjikan komisen bagi setiap tugasan yang diselesaikan.
Mangsa kemudian diberikan beberapa tugasan dan telah membuat 23 transaksi pembayaran ke 16 akaun bank berbeza seperti diarahkan.
ACP Alexson berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menerima komisen yang dijanjikan. Akibat penipuan itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM527,130.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dedah ACP Alexson, sejak 1 Januari hingga 29 November 2025, pihaknya telah membuka 49 kertas siasatan berkaitan modus operandi sama, melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM2,268,373.24 termasuk kes terbaharu ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back