KUCHING – Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti sepanjang 5,977.038 kilometer jalan balak di seluruh negeri untuk diambil alih di bawah Program Penyelenggaraan Jalan Negeri.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo berkata, pengambilalihan jalan-jalan tersebut akan dilaksanakan selepas proses pewartaan kepada Jalan Raya Negeri (JRN) selesai.
Katanya, cadangan mengambil alih jalan balak yang aktif dan menghubungkan penempatan di kawasan luar bandar telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak.
Pada masa ini, jelasnya, kerajaan sedang dalam proses mewartakan bekas jalan balak, jalan balak aktif dan jalan balak tidak aktif.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Baleh, Nicholas Kudi mengenai langkah kerajaan dalam menyelenggara jalan balak aktif pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurut Datuk Aidel, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Hutan Sarawak telah mengenal pasti jalan-jalan balak aktif yang menghubungkan penempatan di kawasan luar bandar bagi memastikan ia diselenggara dengan lebih sistematik.
Sementara itu, di Bahagian Kapit sahaja, jumlah keseluruhan jalan balak yang dikenal pasti dan berdaftar di bawah program itu adalah sepanjang 3,781.694 kilometer.
Back