KUCHING – Pembinaan semula Stesen Pertanian Simunjan dijalankan bagi memastikan Jabatan Pertanian Sarawak dapat meneruskan penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada komuniti tani di daerah itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira keperluan operasi semasa bagi memenuhi pelbagai keperluan pertanian di kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa stesen berkenaan akan berfungsi sebagai pusat perkhidmatan teknikal yang merangkumi aktiviti tanaman, perikanan darat dan industri asas tani.
Selain itu, katanya, stesen tersebut juga menyediakan khidmat nasihat teknikal lain termasuk pengurusan penyakit tanaman, pembangunan kelompok petani, latihan teknologi moden, sokongan input serta pemantauan projek-projek agromakanan di kawasan Simunjan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Simunjan, Awla Dris, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas mengenai komponen utama yang perlu diambil kira dalam pembinaan sesebuah stesen pertanian, Datuk Dr. Abdul Rahman berkata ia merangkumi pembinaan bangunan pejabat utama, fasiliti teknikal dan operasi seperti stor peralatan serta bilik utiliti, selain kemudahan awam dan infrastruktur sokongan termasuk kawasan parkir, bekalan elektrik dan air, jalan masuk serta kerja-kerja luar.
Beliau menambah bahawa prasarana keselamatan turut diambil kira, termasuk pagar dan pondok pengawal, manakala kuarters pegawai atau kakitangan akan disediakan berdasarkan penilaian keperluan.
Back