KUCHING - Sarawak menggiatkan agenda ekonomi hijau pasca-COP28 dengan memperluas pelaksanaan projek kredit karbon, sekali gus membuka peluang baharu kepada komuniti luar bandar menjana pendapatan melalui pengurusan hutan secara mampan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salih berkata, negeri ini telah memperkukuh kerangka peraturannya melalui Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023 dan Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 yang mewajibkan semua projek mematuhi standard antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard untuk memastikan ketelusan serta kredibiliti.
Setakat ini, Sarawak telah mengeluarkan sembilan Permit Kajian Karbon Hutan meliputi lebih 231,000 hektar, manakala tujuh permohonan baharu sedang dinilai. Satu Lesen Karbon Hutan berkeluasan 25,675 hektar turut diluluskan.
Menurut Datuk Len, komuniti luar bandar termasuk pemilik tanah NCR yang diwartakan boleh memohon permit dan lesen karbon jika memenuhi syarat ditetapkan. Pemaju projek juga diwajibkan menyediakan latihan seperti teknik penanaman semula hutan, pengurusan nurseri, rondaan kawasan dan inventori biomas bagi membina kapasiti komuniti.
Ujarnya, usaha itu bukan sahaja menyokong pemuliharaan alam sekitar, tetapi turut membantu komuniti memperoleh kemahiran baharu serta peluang ekonomi yang mampan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back