PUTRAJAYA - Ketika cuaca semakin tidak menentu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa orang ramai agar menumpukan sepenuhnya kepada keselamatan diri dan keluarga, khususnya di kawasan berisiko banjir.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata penduduk perlu peka dengan arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan, terutama membabitkan kanak-kanak, warga emas dan OKU. Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS berdekatan atau melalui talian kecemasan.
Menurutnya, JKM bersama kerajaan negeri dan agensi bencana telah digerakkan lebih awal, dan bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan bertambah buruk. Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada tahap mencukupi untuk diagihkan mengikut keperluan mangsa.
Nancy turut melahirkan rasa dukacita atas dua kes kematian akibat banjir di Kelantan baru-baru ini, sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Setakat ini, 242 PPS beroperasi di seluruh negara, menempatkan 27,489 mangsa daripada 9,033 keluarga.
Amaran cuaca MetMalaysia menunjukkan hujan sangat lebat dan berterusan dijangka melanda beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan, manakala Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap berjaga-jaga.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back