KUCHING – Penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng, bakal menemui peminat di Sarawak apabila tampil dengan konsert istimewa A Night With Andmesh Kamaleng di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam esok.
Dalam sidang media di Kuching hari ini, Andmesh menyifatkan konsert tersebut sebagai impian yang akhirnya direalisasikan, terutama kerana dapat berkongsi pentas bersama dua rakannya yang juga merupakan penyanyi berbakat besar, Gery Gany dan Mario G. Klau.
Ujarnya, beliau sejak dahulu mengimpikan untuk membawa rakan-rakannya bagi menjayakan sebuah konsert bersama, dan malam esok menjadi bukti bahawa impian itu akhirnya menjadi kenyataan. “Ini bukan sekadar konsert, tetapi ini mimpi saya dan rakan-rakan saya,” katanya.
Andmesh turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran konsert tersebut, khususnya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, para penaja serta para peminat yang tidak putus memberi sokongan.
Menjanjikan sebuah malam yang sarat dengan emosi dan kejujuran, Andmesh berkata beliau akan memberikan persembahan terbaik dan jujur dari hati.
Menurutnya, konsert ini didedikasikan khas untuk masyarakat Sarawak, bagi sama-sama “mengekspresikan hati dan perasaan” melalui muzik.
Konsert A Night With Andmesh Kamaleng dijangka menarik kehadiran ribuan peminat yang menantikan lagu-lagu hitsnya termasuk Cinta Luar Biasa, Hanya Rindu dan Kumau Dia.
Orang ramai digalakkan hadir lebih awal dan pintu masuk Stadium Perpaduan akan dibuka seawal jam 6 petang.
#BilikBeritaCats #CATSFM #Umobile
Back