Kuching – Pelancaran Pasukan Gerak Cepat (PGC) oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, menjadi panduan buat seluruh anggota dalam memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras tertinggi.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, setiap balai, unit dan anggota perlu memahami peranan masing-masing, termasuk mengetahui prosedur yang tepat serta bersedia bertindak pantas apabila diperlukan.
Menurut beliau, dalam kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) ini, aspek pengurusan risiko perlu diberikan keutamaan.
Ia termasuk penilaian titik panas banjir, kawasan berisiko runtuhan tanah dan lokasi-lokasi yang berpotensi mengalami kenaikan air mendadak perlu disemak serta dikemas kini secara berkala.
Tegasnya, masa merupakan faktor kritikal, kerana sebarang kelewatan mampu memberi impak besar terhadap keselamatan nyawa.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa kerjasama antara semua agensi terlibat juga perlu diperkukuh kerana ia menjadi tunjang kejayaan dalam operasi bencana.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Sarawak bagi Menghadapi MTL 2025/2026 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back