SARIKEI - Projek Rumah SPEKTRA Permata (RSP) di Susur Jambu Fasa II, Sarikei telah disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada pemilik rumah pada 21 Februari lepas.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata projek itu membabitkan 30 unit rumah yang dibina di atas lot Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Michael berkata fasa tambahan projek itu akan dilaksanakan sekiranya terdapat permintaan daripada pemilik tanah di kawasan SPK Susur Jambu Fasa II, Sarikei.
Selain program RSP, ujarnya, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) turut menawarkan Skim Pinjaman Rumah Panjang, yang membolehkan penduduk luar bandar membina rumah panjang baharu atau membaik pulih rumah sedia ada.
Skim pinjaman ini menawarkan jumlah pinjaman sehingga RM50,000 bagi rumah baru dan RM30,000 untuk pembaikan, dengan bayaran bulanan RM167 dan RM100 masing-masing, sepanjang tempoh 25 tahun, tanpa faedah.
Datuk Michael memberitahu setakat Oktober 2025, sebanyak 10 rumah panjang melibatkan 216 pintu telah diluluskan di DUN Repok dengan peruntukan RM8.24 juta daripada Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back