KUCHING – Sarawak sedang memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan bagi menghadapi masyarakat yang menua.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) terus menumpukan perhatian kepada kesejahteraan warga emas, termasuk menyediakan bantuan kewangan, kemudahan kesihatan, serta pusat komuniti dan penjagaan berterusan bagi mereka yang tidak mempunyai waris.
Menurutnya, inisiatif itu meliputi Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan untuk warga emas yang layak yang bertujuan membantu menampung kos sara hidup asas.
Selain itu, katanya seramai 156,193 warga emas telah mendapat manfaat daripada program Senior Citizen Health Benefit (SCHB), melibatkan perbelanjaan sebanyak RM39.7 juta di 263 klinik panel berdaftar, setakat 30 Oktober 2025.
Program tersebut membolehkan warga emas mendapatkan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun.
Datuk Rosey menambah bagi meningkatkan taraf hidup warga emas, kerajaan Sarawak juga memperkenalkan Kenyalang Gold Card (KGC) yang memberikan diskaun dan rebat di premis berdaftar.
Waris pemegang KGC yang layak pula boleh menerima Bantuan Ihsan Kematian bagi meringankan kos pengebumian.
Sehingga kini ujarnya, sebanyak 27,291 waris telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM75.3 juta.
Beliau memberitahu dua institusi Rumah Seri Kenangan (RSK) di Kuching dan Sibu turut menyediakan penjagaan penuh untuk warga emas yang tidak mempunyai waris atau sumber pendapatan, dengan jumlah penghuni masing-masing 75 dan 33 orang.
Datuk Rosey berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back