Kuching – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima sebanyak 17 unit bot beserta aksesori bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 150 bot yang diperoleh JBPM, melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di bawah Rolling Plan Ketiga Tahun 2023.
Menurutnya, bot-bot tersebut akan ditempatkan di kawasan-kawasan yang kerap terjejas banjir.
Tujuannya adalah bagi memudahkan gerak kerja penyelamatan mangsa banjir di peringkat awal oleh komuniti setempat ke lokasi yang selamat.
Selain itu, pihaknya turut menyerahkan beberapa peralatan menyelamat seperti set khemah dan gergaji berantai kepada tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Ia melibatkan PBS di Kampung Buntal, PBS Bako Indah dan PBS Bunan Gega.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan serahan peralatan tersebut, ia dapat memperkukuh keupayaan respons awal di kawasan masing-masing serta meningkatkan kecekapan operasi.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Sarawak bagi Menghadapi MTL 2025/2026 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back