SIBU - Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menegaskan semua penganjur acara yang menggunakan mercun atau bunga api wajib membersihkan semua sisa seperti serpihan, abu dan kotak dalam tempoh 24 jam selepas acara.
Menurut Pengerusi MPS, Clarence Ting, peringatan tersebut terpakai kepada semua pihak, termasuk penganjur di kawasan komersial, perindustrian, orang awam, agensi dan pertubuhan yang mengadakan sambutan atau acara khas.
“Kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan serta caj pembersihan oleh MPS,” katanya dalam satu kenyataan.
Clarence menegaskan, langkah itu penting untuk memastikan kebersihan dan keselamatan bandar, terutamanya selepas sambutan besar seperti Tahun Baharu atau majlis komuniti.
Beliau turut menasihatkan penganjur supaya merancang awal kerja pembersihan dengan menyediakan tenaga kerja atau melantik kontraktor.
“MPS akan meningkatkan pemantauan terutama semasa musim perayaan untuk mengelakkan longkang tersumbat dan pencemaran kawasan awam akibat sisa mercun,” tambahnya.
Sumber: TVS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back