KUCHING - Kerajaan Sarawak terus menekankan komitmen untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat akses pendidikan berkualiti melalui pelbagai bantuan tahunan serta pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula 2026.
Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata bantuan sedia ada seperti biasiswa dan pinjaman pelajaran akan diteruskan bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir dalam mengejar ilmu.
Katanya, tahun ini sahaja, Yayasan Sarawak menyalurkan RM135 juta untuk pinjaman pendidikan dan RM31 juta bagi biasiswa, selain RM27 juta diberikan sebagai diskaun pembayaran pinjaman kepada pelajar cemerlang.
Fazzrudin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Rabu 26 November.
Tambahnya, RM29 juta juga diperuntukkan untuk membantu pelajar menyelesaikan pinjaman PTPTN secara konsisten setiap tahun.
Dato Fazzrudin menegaskan FTES menjadi pemangkin masa depan Sarawak, meluaskan akses pendidikan, memperkukuh pembangunan bakat, serta meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak adalah negeri pertama memperkenalkan skim sebegini, dengan manfaat jangka panjang yang melangkaui pembangunan bakat semata-mata, memberi impak signifikan kepada ekonomi Sarawak secara keseluruhan.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back