KUCHING - Pembukaan semula penerbangan terus Kuching–Pontianak pada September 2025 disifatkan sebagai pemangkin era baharu kerjasama ekonomi antara Sarawak dan Indonesia.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin yang mewakili Premier Sarawak berkata, langkah itu dijangka meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pergerakan rakyat, serta memanfaatkan potensi pintu sempadan di Wilayah Barat Sarawak.
Jelasnya, kesalinghubungan udara bukan sekadar laluan fizikal, tetapi juga membuka peluang perniagaan, pertukaran idea dan interaksi sosial antara komuniti kedua-dua wilayah.
Selain itu, pelancaran operasi Air Borneo pada 2026 bakal menyediakan penerbangan terus ke beberapa bandar utama Indonesia, sekali gus memperluas sektor pelancongan, mengukuhkan jaringan perniagaan dan menggalakkan pertukaran budaya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Indonesia Evening sempena memperingati Ulang Tahun ke - 80 Kemerdekaan Indonesia serta Ulang Tahun ke-20 Penubuhan Konsulat Republik Indonesia pada Rabu malam, 26 November.
Dato Seri Lee turut menekankan peluang strategik Sarawak dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur, membuka ruang kerjasama dalam infrastruktur, perdagangan, kesihatan dan penyelidikan demi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.
Langkah ini dijangka memperkukuh kestabilan rantau Borneo dan meningkatkan kemakmuran rakyat melalui kerjasama ekonomi yang tersusun dan berpandangan jauh.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back