KUCHING - Tiga lelaki tempatan ditahan polis bersama dadah disyaki jenis methamphetamine dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Petanak pada 25 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata tangkapan dilakukan sekitar jam 1.20 tengah hari oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuching.
Beliau dalam kenyataan memberitahu pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan sembilan paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 5.50 gram, yang bernilai kira-kira RM605.00.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Hasil semakan rekod mendapati dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ACP Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesemua suspek kini direman empat hari bermula 27 hingga 30 November 2025 bagi membantu siasatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back