Kuching – Agensi Kawalan dan Pelindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini memfokuskan usaha untuk menyelesaikan isu sumber manusia, sebelum beroperasi secara penuh tahun depan.
Ketua Pengarah AKPS, Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, struktur keanggotaan AKPS akan terbahagi kepada dua kumpulan.
Menurut beliau, terdapat pegawai yang akan diserap sepenuhnya ke dalam AKPS, manakala sebahagian lagi kekal di jabatan masing-masing untuk membantu agensi sehingga ia benar-benar stabil dan mampu beroperasi secara berdikari.
Beliau menekankan bahawa proses pengambilalihan itu akan mengambil sedikit masa kerana ia bukan sahaja melibatkan penyelarasan sumber manusia, tetapi juga pendedahan kepada latihan dan teknologi.
Kesemua aspek itu penting bagi memastikan AKPS benar-benar bersedia mengambil alih kawalan sempadan secara menyeluruh.
Beliau mengakui, sukar untuk memberikan jangka masa tepat mengenai bila AKPS akan benar-benar stabil sebagai sebuah agensi tunggal.
Sehubungan itu, beliau meminta agar AKPS diberikan masa yang mencukupi agar agensi dapat dilengkapkan secara optimum dan berkesan.
Tambah beliau secara teknikal, sebanyak 125 pintu masuk akan diserahkan kepada AKPS menjelang 1 Januari 2026, namun secara holistik, kestabilan penuh memerlukan sedikit masa lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Sarawak 2025, yang berlangsung di Kuching, hari ini.
Mengulas mengenai pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memperkukuh tenaga kerja AKPS, Dato’ Sri Mohd Shuhaili berkata seramai 220 veteran akan diserap secara berperingkat.
Proses itu akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM bagi mengenal pasti calon yang layak menyertai AKPS.
Beliau menambah bahawa AKPS akan mempertimbangkan veteran yang berkhidmat secara “short service” dalam ATM kerana mereka mempunyai tenaga, pengalaman, dan kepakaran yang diperlukan.
Pastinya, mereka yang masih sihat dan bertenaga akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
#BilikBeritaCats #Catsfm #Umobile
Back
BILIK BERITA CATS
07 November 2025 | 03:46 PM