SHAH ALAM, 21 Mei: Perjanjian Kolektif (CA) adalah instrumen lebih komprehensif dan fleksibel dalam rundingan mengenai faedah dan gaji yang adil mengikut konteks industri.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kadar gaji minimum tidak boleh dijadikan satu-satunya penanda aras dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara.
Katanya, CA juga mempunyai kekuatan undang-undang di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), iaitu majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini memberitahu ia juga memberikan perlindungan undang-undang kepada pekerja dan majikan yang menjadi asas kepada hubungan industri yang harmoni dan produktif.
Terdahulu, Sim mengadakan lawatan kerja ke Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) di sini hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan akar umbi pekerja industri. - BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 May 2025 | 05:01 PM