KUCHING, 21 Mei: Sarawak dijangka memuktamadkan pengambilalihan MASWings Sdn Bhd menjelang 31 Disember tahun ini, sekali gus menandakan pencapaian penting kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh hubungan udara serantau melalui syarikat penerbangannya sendiri, AirBorneo.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata susulan pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) pada Februari lepas, kedua-dua pihak kini sedang berusaha memenuhi syarat terdahulu yang diperlukan sebelum urus niaga itu dapat diselesaikan.
Katanya, ini termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia daripada pihak berkuasa penerbangan utama sepertiti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ujarnya, proses itu turut melibatkan pemindahan aset daripada MAG kepada AirBorneo dan persediaan bagi operasi peralihan yang lancar.
Datuk Dr Jerip menjawab soalan daripada Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) yang ingin mengetahui sama ada proses pengambilalihan MASWings telah diselesaikan dan sama ada perubahan pemilikan itu akan menjejaskan operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri bersama dengan AirBorneo sedang berunding dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi Persekutuan berkaitan dan pihak berkepentingan utama lain bagi merangka terma dan syarat perjanjian RAS yang baharu.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata ini bagi memastikan perhubungan udara di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah diteruskan tanpa gangguan.
Jelasnya, perjanjian tersebut termasuk komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus memberi subsidi kepada RAS kerana akan ada terma dan syarat baharu dengan AirBorneo.-BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 May 2025 | 04:58 PM