KUCHING, 21 Mei: Dewan Undang Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur (Pembubaran) 2025.
RUU itu bagi menggantikan Ordinan Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur yang ditubuhkan pada 1985 kerana tidak lagi relevan dalam landskap ekonomi semasa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur itu diwujudkan bagi membantu pemaju membiayai infrastruktur asas pada tahun 1980an.
Namun, katanya, kebanyakan pemaju kini mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh dan berupaya mendapatkan pembiayaan projek daripada institusi kewangan.
Selain itu, keupayaan fiskal kerajaan negeri juga telah diperkukuh, membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan secara langsung kepada pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan dalam perbahasan RUU itu pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
RUU itu mengandungi tujuh fasal, termasuk peruntukan untuk memindahkan baki dana kepada Dana Disatukan Negeri serta membolehkan pembayaran perbelanjaan pengurusan terakhir sebelum dana tersebut dibubarkan sepenuhnya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 May 2025 | 04:57 PM