KUCHING, 21 Mei: Kerajaan Sarawak akan terus membantu 127,805 lagi penerima Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang layak namun belum mendapatkan bantuan itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat 13 Mei lepas, 758,483 rakyat Sarawak atau 85 peratus daripada 886,288 penerima telah mendapat bantuan melalui e-dompet S Pay Global.
Katanya, bagi memastikan bantuan disalurkan sepenuhnya kepada 15 peratus lagi penerima SKAS yang layak, Kerajaan Sarawak akan terus membantu penerima dengan mengaktifkan aplikasi S Pay Global mereka.
Ujarnya, untuk sebarang sokongan teknikal berkaitan S Pay Global, penerima boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan S Pay Global melalui emel, customerservice@spayglobal.my atau talian telefon 082-224599.
Selain itu, katanya, penerima yang layak boleh mendapatkan bantuan di Pusat Servis Sarawak, Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat ADUN di kawasan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Tellian, Royston Valentine semasa Mesyuarat Pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 May 2025 | 04:44 PM