KUCHING, 21 Mei: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mengemukakan cadangan untuk menaik taraf Jalan Pedai, Jalan Ulu Tuah, Jalan Sungai Urap/Jalan Sedaya Lama di Kanowit yang sering terputus akibat banjir di bawah dana kerja tindak balas kecemasan tahun 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata bagi perancangan jangka masa panjang, kaedah rawatan yang lebin intensif perlu dilakukan ke atas ketiga-tiga jalan itu.
Ujarnya, pihak JKR Sarawak akan mengemukakan cadangan menaik taraf jalan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk pertimbangan dan kelulusan.
Tambahnya, kos bagi kerja-kerja naik taraf bagi kawasan kritikal di jalan tersebut dianggarkan sebanyak RM550,000.00 untuk Jalan Sedaya Lama/Jalan Sungai Urap dan RM275,000.00 untuk Jalan Ulu Tuah manakala bagi menaiktaraf keseluruhan Jalan Pedai dianggarkan berjumlah RM22.36 juta.
Beliau demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Ngemah, Anyi Jana, semasa Mesyuarat Pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

21 May 2025 | 11:40 AM