MIRI, 20 Mei – Seorang lelaki warga asing, 44, ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Miri.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ia susulan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Taman Delight Utama Miri pada 12 Mei lalu, jam 9.00 malam.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 117,064 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 146 gram dadah disyaki pil ekstasi (400 biji)yang dianggarkan bernilai RM137, 064.
“Pada keesokan hari, 13 Mei, kira-kira 11.00 pagi, seorang lelaki warga tempatan, 43 tahun, turut ditangkap di lokasi yang sama bersabit kes yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dianggarkan bernilai RM50, 000, dan barang kemas dengan nilai anggaran RM34, 638.80.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah.
Menurutnya, perintah reman telah diperolehi selama 7 hari bagi kedua-dua suspek, masing-masing sehingga 20 Mei dan 21 Mei ini.
ACP Farhan memberitahu, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 03:22 PM