KUCHING – Kerajaan Sarawak memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Pusat Biodiversiti Sarawak 2025 bagi memperkasa hak negeri dalam pengurusan sumber biodiversiti, sejajar dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, membentangkan bacaan kali kedua RUU tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Menurutnya, RUU ini bertujuan memperkukuh hak negeri dalam tadbir urus biodiversiti, menyeragamkan perundangan dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) dan Protokol Nagoya, serta membuka peluang komersial sumber biologi negeri.
Dato Sri Roland berkata, pindaan tersebut turut memperkasakan fungsi Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) dalam aspek penyelidikan, pemilikan dan pelesenan harta intelek, serta pembangunan kemudahan untuk tujuan komersial dan saintifik.
Pindaan ini memperkenalkan beberapa takrif baharu dan yang dikemas kini, termasuk takrif baharu “mikroorganisma”, takrif yang disemak semula bagi “Menteri” selaras dengan portfolio yang bertanggungjawab ke atas Pusat Biodiversiti Sarawak; dan takrif “native” yang diselaraskan dengan maksud di bawah Ordinan Interpretasi 2005.
Foto Kredit: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 02:21 PM