Kuching, 20 Mei: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina sebuah Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Bandar Baru Jepak, Bintulu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Anuar Rapaiee, berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, pada sidang DUN hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Dr. Anuar berkata, bagi memastikan kelestarian dan kualiti pendidikan di sekolah berkenaan, kerajaan akan melaksanakan rangka kerja yang seragam dan komprehensif.
Katanya, rangka kerja tersebut selaras dengan silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang digunakan di sekolah-sekolah antarabangsa seluruh dunia.
Silibus IGCSE itu dibangunkan berasaskan perkembangan terkini dalam pedagogi pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, mekanisme pemantauan dan maklum balas bagi menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran turut akan dilaksanakan secara berkala mengikut piawaian University of Cambridge.
Untuk rekod, pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Petra Jaya telah mencapai kelulusan 100 peratus dalam tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sain dalam ujian Cambridge Checkpoint Year 9.
Sebagai kohort pertama, pelajar-pelajar tersebut telah menunjukkan prestasi yang membanggakan.
Foto: Japen Sarawak
#BilikBeritaCats #Catsfm

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 02:19 PM