KUCHING – Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah memohon peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur melibatkan 40 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) di kawasan Beting Maro.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, berkata kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan dari tarikh pemilikan tapak.
Jelas Michael Tiang, Kerajaan Sarawak buat masa ini telah memperuntukkan siling RM1.5 juta kepada HDC di bawah RMK-12 untuk pelaksanaan penyerahan pelan semakan, penyediaan pelan sekatan sub-bahagian dan pelan sekatan tinjauan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, pada Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Sementara itu, berkaitan dengan pengubahsuaian Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Pusat, Michael Tiang memaklumkan bahawa pelan pengubahsuaian tersebut telah diterima oleh Pihak Berkuasa Perancangan Sarawak (SPA) pada 13 Mei lepas, selepas draf awalnya diterima pada 20 Februari 2024.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 136 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) jenis berkembar telah diluluskan di bawah projek pembangunan semula RPR.
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 01:51 PM