JASIN, 20 Mei - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila hampir dipanah petir ketika sedang menutup pintu kereta di rumah ibu mentuanya di Kampung Batang Melaka, di sini baru-baru ini.
Mangsa Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, dia sedang berdiri memegang payung sebelum petir secara tiba-tiba menyambar sebatang pokok durian berhampiran.
"Kejadian itu menyebabkan saya terpelanting dan jatuh terduduk. Saya kebingungan seketika melihat rupa pokok durian yang dipanah petir sebelum berlari ke arah beranda rumah,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.
Muhammad Hafizuddin berkata selepas itu dia terus rebah manakala kakinya seolah dicucuk jarum halus sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin dengan ambulans. – BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM

BILIK BERITA CATS

20 May 2025 | 01:49 PM